Soal Jawab Agama
HUKUM
Boleh atau tidak Rusa dijadikan ibadat sembelihan qurban? Berapakah bahagiannya?
Binatang sembelihan qurban ialah unta, lembu, kambing dan biri-biri. Tidak sah qurban yang selainnya.
Topi yang bercabang, hukum memakainya?
Di dalam kitab jawi lama Sabilahmuktadin' mengatakan haram. Hukumnya harus berdasarkan ia tidak lagi dihukumkan fasiq memakainya.
Apakah pandangan syarak tentang pembacaan Al-Quran oleh orang yang berjunub?
Ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang sedang berjunub tidak dibenarkan membaca Al-Quran dan menyentuhnya larangan Nabi S.A.W yang bermaksud : " Bahawa Baginda S.A.W tidak menghalangnya daripada membaca Al-Quran kecuali di dalam keadaan berjunub.
Apakah diperbolehkan menulis ayat-ayat Al-Quran di atas jam dinding ?
Al-Quran diturunkan untuk dibaca dan difahami maknanya lalu diamalkan pengajaran-pengajarannya dan ditinggalkan larangan-larangannya. Penulisan ayat Al-Quran di atas jam dinding dan sebagainya adalah untuk sekadar perhiasan dan galakan kepada pembeli, tidak lebih daripada itu. Oleh kerana itu penulisan tersebut membawa kepada penyelewengan penurunan Al-Quran itu sendiri yang terkadang membawa kepada penghinaannya apabila dibawa ke tempat-tempat kotor atau najis dan jatuh ke tangan orang yang bukan Islam. Oleh kerana itu sepatutnya ayat Al-Quran tidak dijadikan sebagai bahan melariskan penjualan jam tersebut.
Apa pandangan tuan mengenai seseorang yang bernazar untuk melakukan maksiat?
Orang yang bernazar untuk melakukan maksiat diharamkan menyempurnakan nazar tersebut kerana Nabi S.A.W pernah menyatakan : "Sesiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat kepada Allah, janganlah dia melakukan maksiat tersebut". Dia dikehendaki membayar kaffarah ( penebus ) nazarnya itu .
Terdapat di kalangan anak muda yang membuat tato di badan mereka, apakah pandangan Islam mengenainya ?
Membuat tato (corak pada anggota badan dengan jarum atau sebagainya dan mengekalkannya dengan darah atau warna ) adalah satu amalan yang dilarang dan ditegah di dalam ajaran Islam. Baginda SAW pernah bersabda : Allah melaknati orang yang menjalankan kegiatan tato dan meminta supaya tubuhnya ditatokan. Bagi yang telah melakukannya hendaklah bertaubat kepada Allah SWT, sekiranya tato itu dapat dihilangkan maka hendaklah dibuang kerana penyejatan darah yang dilakukan pada tubuh adalah najis yang mesti dihilangkan.
Masyarakat kita sering mengunjungi dukun atau bomoh untuk berubat, apakah dibolehkan perkara tersebut di dalam Islam?
Islam menganjurkan seseorang yang mengidapi penyakit supaya memohon kesihatan dan berubat semoga menjadi sebab kesembuhan. Oleh kerana itu dibenarkan untuk mengunjungi orang yang mahir di dalam bidang perubatan seperti doktor dan seumpamanya. Tetapi apa yang perlu diberikan perhatian mengenai pengamal perubatan tersebut apakah dia menggunakan sumber makhluk ghaib / menyengutukan Allah atau tidak . Jika inilah dasarnya maka Islam menegah perbuatan tersebut dan melarang pesakit dari mendatanginya sehinggakan Nabi SAW memberi amaran kepada yang mengunjungi pengamal perubatan melalui makhluk halus bahawa amalannya tidak diterima selama 40 hari (riwayat Muslim). Adapun mengubat dengan membaca ayat-ayat al-Quran atau doa-doa maka ianya dibolehkan.
Terdapat sesetengah kedai menulis perkataan barangan yang dijual tidak boleh dipulangkan kembali. Apakah pandangan tuan mengenainya ?
Penjualan sesuatu barangan dengan diletakkan syarat tidak boleh dipulangkan atau ditukarganti adalah suatu yang tidak diharuskan di dalam Islam dan merupakan syarat yang salah kerana ianya memudaratkan pembeli dan mengaburi pandanganya ketika membeli . Dengan meletakkan syarat tersebut, penjual memaksa pembeli supaya membeli / mengambil barangan tersebut walaupun terdapat keaipan padanya sedangkan di dalam kaedah jual-beli sesuatu barangan yang cacat / tidak sempurna boleh dikembalikan kepada penjual dan dia berhak mendapat gantian yang baik yang lain atau memperolehi bayaran keaipan tersebut daripada penjual.
Setiap penjual ingin memperolehi keuntungan daripada perniagaanya, apakah dibolehkan dia mendapatkan lebih dari 10% keuntungan daripada perniagaanya ?
Keuntungan adalah suatu yang diingini oleh setiap peniaga/ pekerja dan ianya tidaklah dihadkan sebanyak mana. Tetapi tidaklah sepatutnya bahkan haram seseorang mengambil kesempatan menipu saudaranya yang membeli di kedainya dengan menjual mahal sesuatu barangan yang bukan harga pasaran semasa. Bahkan hendaklah penjual bersikap tolak ansur dan berlapang dada ketika menjual dan membeli kerana Nabi SAW menggesa sikap baik tersebut.
Saya ingin mendapatkan penjelasan tuan mengenai pembelian secara bayaran ansuran yang diamalkan pada hari ini ?
Pembelian / penjualan secara ansuran adalah diharuskan di dalam Islam sekiranya sesuatu barangan itu ditentukan harganya secara jelas dan begitu juga tempoh pembayarannya hatta walaupun pembeli terlewat membayarnya daripada tempoh yang ditentukan itu dia tidak dikenakan membayar lebih. Tetapi sekiranya kelewatan itu menyebabkan pembeli terpaksa membayar tambahan maka cara demikian adalah haram kerana ianya termasuk di dalam katogeri riba jahiliyah yang diharamkan oleh Allah SWT.
Bagaimana cara menghormati al-Quran dalam keadaan sekarang ; pembinaan rumah yang bertingkat ? Apakah hokum meletakkan setiap al-Quran di setiap tingkat sedangkan ada orang berjalan di tingkat atas sedangkan al-Quran ada di tingkat bawah ?
Keadaan sebagaimana pertanyaan tidaklah mengapa bahkan ianya tidak menghina kesucian al-Quran itu sendiri. Apa yang tidak dibenarkan adalah sekiranya kita melatakkan al-Quran di atas lantai rumah kita sedangkan kita berjalan atau melangkah di atasnya. Perlu diingat bahawa setiap tingkat rumah atau bilik itu adalah dikira satu rumah yang berasingan.
Apakah dimaafkan di dalam mengambil wuduk cat rumah yang melekat pada anggota wuduk ?
Sesuatu yang menghalang air daripada sampai ke kulit tempat basuhan anggota wuduk menjadikan wuduk tidak sempurna. Kerana itu hendaklah mereka - yang mengecat rumah atau yang menggunakan bahan mekap muka yang tebal, cat kuku atau barangan lain yang menghalang air dari sampai ke kulit anggota wuduk - memastikan ianya dihilangkan terlebih dahulu sebelum mengambi wuduk. Jika tidak solat yang dikerjakan tidak sah kerana wuduknya tidak sah.